Greetings

July 16, 2013

The Spirits Revives!

Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Apa khabarkah kalian sepanjang peninggalan aku di dunia blog ini?

Alhamdulillah, akhirnya aku mempunyai sedikit masa untuk aku luangkan di sini. Alhamdulillah. Sebelum kalian meneruskan pembacaan, harap kalian sudi mendoakan kebaikan pada muslim yang berada di Mesir, Syria, Gaza, Palestin, Mali, Sudan, Turki, Bangladesh dan seluruh umat Islam di muka bumi ini. Terima kasih.

Berdasarkan tajuk yang berada di atas, aku harap kalian dapat mengagak apa yang aku ceritakan di sini. 

Ya, mengenai semangat. 

dari sini 

Bukan, bukan semangat hantu mahupun semangat kesukanan kampung pasir terbelah yang telah memenangi acara lompat berpagar secara berjemaah melalui saf-safnya yang tersusun rapat. 

Bukan.

Ianya mengenai semangat aku yang semakin berkurang sebelum ini kerana ujian/mehnah/tribulasi yang dihadapi. Ujian yang telah mendidik aku supaya tidak melihat dunia ini dengan hanya sepasang mata fizikal. Namun ujian ini telah mendidik aku supaya memandang dunia ini dengan sepasang mata hati, sepasang mata yang menggunakan al-quran dan sunnah Muhammad S.A.W sebagai kacamatanya. 

Kehilangan orang yang diantaranya aku cintai kerana Allah, iaitu seorang al-akh yang sudi menjadikan telinganya sebagai tempat luahan hatiku, diuji dengan pelbagai masalah yang berlaku terhadap perkara-perkara yang aku sendiri tidak menjangka menyebabkan aku melarikan diri dari medan perjuangan aku. Dan aku mula menyibukkan diri dengan perkara-perkara lain selain menjalankan proses dakwah dan tarbiyah.

Lari. Daripada mereka yang bersama-sama denganku dalam perjuangan ini.

Aku mula untuk menilai diriku semula. Mencari-cari rentakku yang telah lama hilang sejak kehilangan al-akh itu. Mencari-cari kekuatan dari kalamNya, cuba untuk mengubati hati yang agak lusuh. 

Dikejutkan pula dengan situasi yang berlaku di Mesir, aku bertambah rasa lemah. Sedih dengan apa yang berlaku di sana. Dan aku menangis di dalam hati tatkala membaca berita-berita itu. Aku berasa sungguh lemah. Sehinggakan aku mengabaikan anak-anak usrahku, yang dahagakan bulatan gumbira bersama-sama denganku. Melarikan diri daripada duduk bersama-sama ikhwah. Menangis seorang diri.

Namun, setelah beberapa perkara telah diselesaikan. Aku mula mendapat rentakku sedikit demi sedikit. Namun masih lemah. Dan aku cuba untuk mengutip semula lebihan semangat yang ada untuk meneruskan hidupku. 

asal gambar ini

Akhirnya, Alhamdulillah. Hamasah yang aku cari selama ini telah datang semula. Semangat yang inginkan perubahan ke arah kebaikan ini mula merasuki diriku. Semangat ke arah kebaikan pada masa hadapan membuatkan aku kembali menemui rentakku semula. Alhamdulillah, segala pujian hanya kepada Tuhan.

Apa yang aku belajar dari ujian-ujian ini?

Aku mendapati aku terlalu bergantung kepada manusia sekeliling aku. Namun aku tidak meletakkan kebergantungan aku kepada Allah. Kerana Dialah yang sepatutnya aku bergantung segalanya, serahkan segala urusan kepadaNya, setelah aku menjalankan apa yang patut aku lakukan. Ternyata, ia tidak mengecewakan.

p/s: maafkan ana wahai ikhwah. kerana melarikan diri dari antum. maaf. T_T
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...